Kisah ini saya tulis 2 tahun lalu, semasa saya berada di tahun dua pengajian. dan ini adalah antara karya yang paling saya suka sebab ia menggabungkan elemen sains kognitif dan emosi dalam mempertahankan cinta kepada Ilahi. Yang penting kisah ini tiada kaitan antara hidup dan yang sudah meninggal dunia. Selamat menikmatinya =)
Seusai solat maghrib sebentar tadi, Nisa cuba merehatkan
tubuh dengan bersandar di dinding berhampiran. Segumpal nafas yang terasa
bergumpal di dada dilepas perlahan.
Fikirannya kacau. Hatinya tidak menentu. Lafaz istighfar laju bermain di
bibir. Tersenyum hambar mengingati hari-hari yang dilalui. Allah, ampunkan
aku.. Aku insan berdosa..berdosa sekali ya Allah..
Nisa 1: Assalamualaikum..Apa khabar hati..?
Nisa2: Waalaikummussalam..Alhamdulillah..hati? erm.. terasa
semakin sembuh.. tapi kadang-kadang tiba-tiba terasa ‘sakit’.. Entahlah..
Nisa 1: Sakit? Awak tak jaga hati betul-betul? Awak tak bagi
dia makanan berkhasiat?
Nisa 2: Awak marah? Minta maaf.. saya terlalai menjaga
hati.. Saya terlalu sibuk menguruskan akal. Akal terlalu sibuk. Banyak bahagian
yang harus selenggara. Kotak memori saya belum mampu menyusunnya kembali di
tempat-tempat yang betul. Cebisan-cebisan fakta masih belum sempat saya letak
di bahagian frontal lobe. Formula-formula matematik belum sempat saya
cerna, bahagian otak kiri, system dia tergendala sebentar. Akhir-akhir ini,
apabila akal sibuk mencerna falsafah, dia terlupa kemampuan dirinya, sampaikan
akal dah tak mampu menanggungnya. Kesannya pada jasad. Kasihan jasad.
Berhari-hari dia tidak mampu bangun kerana termuntah-muntah.
Nisa 1: Awak hidup tak seimbang.(tuduh Nisa 1 melulu) Dimana Allah di hati awak? Ke awak letak kat
akal?
Nisa 2: Sampai hati awak. Hancur hati saya awak kata begitu.
Allah itu yang pertama dalam hidup saya. Allah sentiasa di hati saya. Akal saya
hanya alat untuk saya mencapai Dia.
Nisa 1: hah, tahu pun.. akal itu hanya alat. Bukan
matlamat. Tapi kenapa awak sibuk dengan
alat sampai awak lupakan matlamat? ...........Hati hancur..? haha.. bukankah awak
kata tadi hati sakit? Sekarang dah hancur?
Nisa 2: (raut muka berubah sebak hampir-hampir
menangis).. Saya hanya ada Allah. Hidup
saya hanya untuk Dia. Cinta saya pada Dia. Rindu saya pada Dia. Tapi..tapi...
hati..hati.. dia tak begitu. Akal saya mencari Allah. Tapi hati, dia sibuk
menyebut manusia. Saya benci. Benci
keadaan ini. Sebab itu saya sibukkan dengan akal. Akal dan hati sudah tidak
seiring. Sudah tak berpadu. Sukar untuk bersatu. Untuk mencari Dia yang Satu.
Tapi sekarang akal bergerak pantas, hampir setiap waktu masanya terisi. Tapi
hati.. dia ditinggalkan, akhirnya dia lemas dalam kesepian. Tenggelam..
sesekali timbul menghulur tangan memohon ihsan sang akal. Tapi akal tak mampu
membantu.. Kerana raja kepada jasad bukan akal tapi hati. Hati harus membantu
dirinya sendiri.
Nisa 1: (raut wajah berubah menjadi kasihan).. Apa yang
terjadi pada hati sebenarnya? Oh, hati berlipur larakah dikau di sudut sendiri?
Marilah bermadah akan dukamu itu.. Mana tahu kami kan dapat membantu..
Nisa 2: Hati..hati..dia sedang berduka cita. Tersangat
berlipur lara. Sang arjuna tidak memunculkan diri. Walau diseru sekian kali.
Lama dia menanti. Sampai menjeruk rasa dan meminggirkan diri. Sudah dipujuk
berkali-kali. Tuhan itu sentiasa disisi. Bahkan sebelum ini, cinta hati hanya
pada Sang Khalik. Tapi sudah fitrah hati ingin dicintai dan dimiliki makhluk
bernama lelaki. Aduh kasihan sama diri.. Oh Allah, tolonglah selamatkan hati!
Nisa 1: Benarkah hati? kerana makhluk bernama lelaki kamu
jadi begini? Kamu dan akal sampai berpisah sendiri-sendiri?
Nisa 2: Jawablah hati..jujurlah pada diri.. jasad dan akal
sedang menanti.. hati.. hati jawablah bahawa kamu memang sedang merindui
seseorang, sampai jasad kadang-kadang tak mampu mengawal empangan air mata.
Walaupun kamu cuba menipu akal supaya bergerak sendiri. Tapi kamu bertiga punya
pertalian terpatri. Tidak akan ada yg mampu dapat membohongi walaupun insan
yang disayangi. Hati, sungguh dia sudah terjatuh. Jatuh cinta. Pada insan yang belum layak lagi dimiliki.
Itu punca dia bersedih hati. Itu sebab dia menjarakkan diri.
Nisa 1: (Bagaikan tidak percaya). Hati.. kamu sudah jatuh
cinta? Pada lelaki ajnabi? Astaghfirullah.. bertaubatlah hati. Sungguh Allah
mengetahui.
Nisa 2: (Sebak pecah menjadi esakan kecil).. Sungguh, hanya
kepada Allah aku memohon ampun. Kerana tidak pandai menjaga hati. Hanya kepada
Allah aku berserah diri. Hati.. bangunlah hati.. siramkan dirimu dengan
keyakinan pada Dia. Kasihan akal, dia tak mampu sendiri lagi. Doronglah akal
wahai hati. Jasad pasti gembira jika kamu bersatu kembali. Hati, jangan disebut
namanya lagi. Akal, jangan bantu hati menggambarkan wajah si dia. Jangan
pancarkan segenap fakta tentang dia. Jangan aktifkan amygdale walaupun hati
merayu berbuat demikian. Jangan sesekali kasihan pada hati. Jangan berkompromi
tentang maksiat!
Nisa 1: Kasihan hati.. berduri perjalanannya. Adakah si dia tahu
hati jatuh cinta pada dia?
Nisa 2: Hati masih menangis. Sungguh-sungguh hati menyimpan
rahsianya. Hati tak mahu terlalu ikutkan dirinya. Dia perlukan bantuan akal.
Supaya akal bisa membiaskan sedikit rasional pada hati. Hidup berkeluarga tak
mampu dijaga hanya pada perasaan pada hati. Perlu tanggungjawab pada kewarasan
akal. Tetapi kadang-kadang serasa akal menang dengan menidakkan hubungan cinta
pada hati untuk membina keluarga yang mawaddah. Lihat sahaja berapa ramai
golongan pemuda, yang binasa kerana ikutkan rasa, yang mati kerana ikutkan
hati. Perlu ‘rasional’ yang beragama dalam memilih pasangan, itu kata akal.
Hati hanya mendiamkan diri.
Nisa 1: Hati.. jangan merajuk lagi.. jawablah, pertahankan
dirimu..
Nisa 2: (Jauh termenung: sedang berbicara dengan hati) :
Hati itu raja. Baik hati baiklah seluruh jasad. Dari hati akan mempengaruhi
akal. Hati mampu mengubah perlakuan, tetapi akal tak mampu. Akal hanya alat.
Alat untuk menyampaikan apa dari hati. Seperti satu saluran yang
sambung-menyambung. Manusia yang hanya tahu menggunakan akal, hanyalah manusia
yang tahu. Manusia yang menggunakan hati, dia menjadi manusia yang faham.
Kerana dia pandang dengan mata hati. Kekhalifahan dan ke’abid’an seseorang itu
terpancar apabila dia menggunakan hati. Bukan seperti akal, manusia itu tahu,
kerana dia mempelajarinya, tetapi dia tidak faham apa hikmah di sebalik ilmu
tersebut. Jadi ilmu itu lapuk dek kerana tidaak diamalkan. Tidak seperti hati,
semakin dia belajar semakin terpancar ‘nur’ di wajahnya.
Nisa 1: Wah, dah jauh tersasar. Hati, Apa kaitan awak dengan
membina keluarga mawaddah? Pentingkah cinta yang digalas pada awak untuk
berhubung hubungan harmoni?
Nisa 2: Hati mengeluh. Dia masih perlukan akal disisi. Hati
sudah jatuh cinta. Cinta pada manusia yang fana. Jika benar dengan si dia, hati
berdoa agar dia menjadi yang hakiki di dunia sana. Tapi masih Allahlah cinta
hati yang abadi. Tanpa hati yang punya rasa cinta, hubungan akan jadi hambar,
walaupun kamu bergerak dalam jalan dakwah. Perjalanan kamu merintang kerana
kamu tak punya kesatuan hati. Bergerak ibarat robot tidak punya perasaan sayang
dan hambatan saling kerinduan. Hati kamu berdua seiring menuju Allah, tapi
jalan kamu berbeza langkah. Perang dingin mulakan tercipta kerana kamu tidak
berbagi rasa.hati.. hati! Sudahlah.. jangan diteruskan lagi.. Pasti aku kan
berbelah bahagi.. Oh, tuhan.. tunjukkan ku jalan..
Menjadi muslimah seperti ini adalah impian setiap wanita Muslim |
Nisa tersandar kelelahan.. perang jiwa yang tak
berkesudahan. Perlahan ditanggalkan telekung, menuju ke bilik air. Azan isyak
sudah berkumandang, Nisa memperbaharui wudhuknya. Azamnya untuk melazimkan
istikharah setiap malam, supaya hati dan akal berganding kembali, supaya jasad
mampu mengukir senyum, supaya hati bisa tenang dalam jawapan ilahi. Tiba-tiba
hatinya terdetik, alangkah bahagianya jika dia diberi cinta seperti Rabiatul
Adawiyah kalau tidak pun seperti Syed Qutb. Hati dan jiwa mutlak hanya milik
Dia Sang Pemilik Cinta!
25 November 2011, Desa Ilmu, Kota Samarahan, Sarawak.