Sunday, February 27, 2011

tabahlah wahai hati..

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam..Subhanallah wabihamdihi.. Allahumma salli’ala saidina Muhammad.
            
            Seperti hari-hari biasa pada hujung minggu, ana akan buka facebook untuk update apa-apa berita tidak kiralah dari sahabat handai, keluarga @ lain-lain. Selalunya facebook menjadi medium pengantaraan untuk meyampaikan berita terkini. Memanfaatkan teknologi terkini dengan cara yang betul. Walaupun ia sering sahaja disalahgunakan. Bergantung kepada bagaimana cara kita menggunakannya. Andai terasa muraqabatullah (pengawasan Allah) dalam setiap perbuatan kita beruntunglah, jika tidak, muhasabah lah semula diri kita.

Sejak akhir-akhir ini, rancak sungguh sahabat-sahabat ana post sesuatu di facebook, semenjak group untuk kelas kami di tingkatan lima ditubuhkan. Pejam celik-pejam celik sudah 3 tahun masa berlalu, begitu pantas. Kini masing-masing sedang sibuk menghadapi dunia sendiri, sudah semestinya, sibuk di alam kampus.  Majoritinya berada di UIA. University idaman ana satu ketika dahulu. Namun hasrat tidak kesampaian. Insya Allah hati ini redha, kerana ana tahu Dia lebih tahu apa yg tersirat. Ana tumpang gembira untuk sahabat-sahabat ana. Ada juga yang dalam persediaan untuk menyambung pelajaran di U.K dan yang lain-lain semua sudah merata-rata di bumi Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Namun, tiada pun antara kami yang melupakan kenangan indah yang kami lalui bersama. Bagaimana kami ‘mengenakan’ salah seorang daripada kami semasa hari jadinya, bagaimana kami sentiasa musyawwarah jika sesuatu pekerjaan itu tidak mendapat persetujuan ramai, betapa tidak matangnya kami apabila ada perselisihan faham, sampai ada yang merajuk-rajuk.
 Alangkah indahnya satu ketika dahulu! Hidup sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-mengingati. Maklumlah sekolah berasrama nun jauh di utara,jauh berbatu-batu dari rumah, menyebabkan kami saling bergantung antara satu-sama lain. Lebih-lebih lagi, kelas kami yang paling sedikit jumlah pelajarnya, hanya beberapa belas orang berbanding kelas lain yang hampir 30 orang jumlah pelajarnya. Disinilah tarbiyah untuk diri ana bermula. Mencintai yang lain hanya kerana Allah.  Dan tidak disangka, kemesraan yang terjalin itu kekal sehingga ke hari ini.   Segala puji-pujian hanyalah kepada Allah. Sungguh diri ini sangat menyayangi mereka.

Sedang sibuk ana membaca post sahabat-sahabat, tiba-tiba ada pop-out box muncul. Seorang sahabat dari ‘mereka’.Biarlah ana namakan dia Aya a.k.a bukan nama sebenar. Oh, rindunya hati tatkala itu. Bermula dari bertanya khabar sehinggalah kepada kisah dia. Dia sedang berduka-cita rupanya! Ana termangu mendengar kisahnya, bersimpati dan cuba berempati-‘Put yourself in their shoes’.  Kadang-kadang terasa juga seperti mahu mengalir air mata, nasib baiklah ana di hadapan laptop, jika ana berada di hadapan dia, pasti dia lagi sedih. Dia yang sedih kita pula yang lebih-lebih. Aya sedang rawan dengan kehilangan orang yang sangat dia cintai-arwah atuknya. Menurut Aya, semasa arwah atuknya nazak, ibu bapa dia ada mengkhabarkan berita itu, tetapi ibu bapanya tidak membenarkan dia balik kerana dia bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Tetapi hati  dia memberontak-rontak ingin pulang, tetapi Aya terpaksa memendam perasaannya. Sehinggalah satu waktu berita kematian arwah atuknya yang menyinggah telinga. Hancurnya hati hanya Allah yang tahu. Setiap hari semenjak perkhabaran itu, Aya akan menangis dan terus menangis.

Hatinya luluh dengan sikap ibu bapanya yang tidak membenarkan dia menatap wajah atuk tersayang buat kali terakhir. Setiap kali jiwanya bersedih dia akan cuba buat-buat sibuk dengan mengisi masanya sebagai tanggungjawab sebagai seorang pelajar,tetapi apabila menjelang sahaja malam, waktu dirinya bersimpuh diatas sejadah, pasti air matanya mengalir laju, terbayang wajah atuk, terbayang kenangan bersama allahyarham, setiap bait kata-katanya. Semuanya bermain laju di dalam minda, sehingga satu masa, Aya terasa dia tidak sanggup lagi menghadapi dunia, dia lemah menghadapi kehilangan orang tersayang. Sehingga dia berasa tidak berdaya. Disebabkan inilah dia meluahkan segalanya kepada ana di hujung minggu itu, dia tidak tahan lagi menanggung semuanya seorang diri, berkali-kali dia meminta maaf kerana menganggu mood ana pada hujung minggu.

Oh, sahabatku, andai sahaja dirimu tahu, mahu sahaja diri ini terbang kesana, biar diri ini mampu meminjamkan bahu untuk dirimu menangis. Luahkan segalanya selepas engkau mohon kepada Allah. Ana termangu mendengar ceritanya, terharu, sedih dan pelbagai lagi. Tabahlah wahai hati sahabatku. Allah sedang mengujimu. Tanda Dia sangat menyayangimu. Dia bertanya pada diri ini

“Pernah awak rasa apa yang saya rasa? Pahitnya berhadapan dengan kehilangan orang tersayang??”

Jawapanku, “Pernah.”

Kemudian Aya bertanya lagi “Apa yang awak buat?”

Ana terdiam. Otak ligat berfikir, bila??  Segala kotak memori cuba ana selongkari satu-persatu. Oh, tuhan.. memori pahit itu. Ketika itu ana di tingkatan empat,berita kematian arwah nenek yang dikhabari ayah. Masa itu bulan ramadhan, ya, ana ingat lagi semua itu. Mendengar sahaja berita itu, tidak henti-henti air mata mengalir.Masa berbuka pun, sisa air mata sukar dinyah. Teringat wajah arwah nenek, kenangan bersama dia-ana mandikan arwah, kemudian tiba-tiba sahaja dia menangis, menangis kerana betapa tidak upayanya diri dia menguruskan diri sendiri. Ada satu ketika lagi, ana duduk termenung ditepi pangkin di rumah nenek, tiba-tiba dia menegur “Eh, muka engkau sebijik macam muka aku dulu-dulu”. Ana terkejut.  Dia mengamati ana sejak tadi rupanya. Sepupu-sepupu ana pun mengakui hal tersebut.Kenangan bersama dia,oh tuhan.Seusai habis SPM, ana diuji lagi, dengan berita kematian adik angkat ana kerana leukemia, beberapa hari sebelum itu, keluarga kami diuji dengan kematian arwah abang ipar, selang beberapa hari kemudian ibu ana pula dimasukkan dalam hospital, kerana berlaku tumpah darah yang sangat banyak. Ibu nyawa-nyawa ikan ketika itu. Ya, Allah.. kenapa ana harus ingat semua memori pahit itu?? secara fizikalnya,ia kerana persoalan sahabat ana, disebabkan dia ana terpaksa mengingati peristiwa yang ana cuba kuburkan jauh dalam lubuk hati. Tetapi hakikatnya, Allah mahu ana sedar kembali, betapa banyak nikmat yang telah dia beri semenjak itu.
Hari ini ana dalam zon selesa, sejarah lama ana cuba tutup serapat-rapatnya. Ibu pula semakin hari semakin pulih,beberapa tahun sudah berlalu.SYUKUR kepada Allah. Tetapi, Ana terlupa betapa sewaktu ana diuji betapa rapuhnya diri ini. Hari-hari yang dilalui terasa hambar, seolah tidak ada maknanya lagi,

tetapi Allah Maha penyayang tika itulah ditiup kekuatan,
ketika itulah diri ini merangkak mencari cahaya.
 Tika itulah quran sentiasa menjadi peneman setiap malam.
Penyembuh jiwa yang kelukaan.
 Ketika itulah sejadah menjadi teman setia.
Ketika itu jualah, air mata sentiasa menjadi murah ketika berhadapan denganNya.
Ketika itulah terasa diri ini lemah berhadapan dengan taqdirnya.
Tergoncang seketika dengan rukun iman yang keenam
-Percaya kepada qada’ dan qadar.
Ketika itulah hati sentiasa merayu agar dikuatkan hati menempuh hidup ini.
Ketika itulah meminta jangan sekali-kali Dia terlepas pandang pada hamba yg hina ini.
Pelbagai lagi doa sentiasa berzikir dibibir.
            
          Setelah mendung berlalu, kadang-kadang kita insan yang sentiasa alpa, dengan nikmat yang telah dikurniakan. Sebagaimana firman Allah.

“Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan?” (al-rahman:42).

             Ana seolah terlupa dengan ujian yang pernah Dia beri. Astaghfirullah. Terima kasih sahabat kerana mengingatkan. Jika diberi pilihan antara ujian dalam kesenangan atau ujian dalam kesusahan @ keperitan, ana pilih yang kedua. Kerana jika senang kita mudah sangat lalai dalam mengingatiNya, tetapi apabila kita kesusahan, kita tahu hanya kepada Allah kita mengadu, dan hanya Dia yang mampu mengurangkan kesakitan kita.Apapun,susah @ senang itu dariNya. Kita sebagai hamba harus redha dengan taqdirnya. Tetapi itulah, alangkah indahnya hidup bertuhankan Allah, tak pernah berkeluh kesah, andai kesenangan yang datang, diucap hamdalah, andai kesusahan yang datang, bertambah lagi kekuatan hubungan kita denganNya.
                
            Oh sahabatku, jika dirimu bertanya kepada ku bagaimana aku mengurangkan kesakitan kehilangan orang yang tersayang, ana hanya mampu menjawab, dekatkanlah dirimu dengan al-quran.Insya-allah hatimu akan sembuh dengan ayat-ayat cintaNya. Bukankah Allah berfirman

“ Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira pada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Innalillah hi wainna lillahi raji’un (sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNyalah kami kembali)” (al-baqarah:155-156).

Ingatlah orang-orang yang tersayang itu hanyalah pinjaman. Termasuklah ibu bapa kita. Jasad kita juga hanyalah pinjaman untuk meraih pahala sebanyak mungkin di muka bumi ini sebelum dijemput kembali. Kerana itu, kita disarankan supaya menyintai sesuatu itu dengan bersederhana.
Dan sungguh sahabatku, kamu sangat beruntung kerana diuji oleh Allah. Betapa Dia sangat mencintaimu. Rasulullah bersabda, Allah S.W.T telah berkata :

Ketika Allah suka kepada seorang hamba. Dia mengujinya. Jika dia sabar, Dia hindarkan. Jika dia rela, Dia memilihnya”. Moga musibah yang menimpamu, menjadi modal untukmu terus menyintaiNya lebih lagi.
Selain itu, sahabatku..marilah kita sama-sama bertaubat sebanyak-banyaknya. Kadang-kadang  apabila musibah jatuh pada diri kita,tanpa sedar terpacul daripada mulut kita, “kenapa mesti aku?”, “Apa dosa aku?”, kenapa, kenapa dan kenapa???
Allah azzawajalla berfirman: “Bertubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman. Mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan” (AN-nur:31)

Kita tidak sempurna wahai sahabatku, sering sahaja melakukan kesalahan. Tetapi kita tidak harus berputus asa dari rahmatnya. Marilah kita menjadikan solat taubat itu sebahagian rutin hidup kita. Moga dengan itu, hidup kita lebih tenang. Dan moga-moga amalan yang kita lakukan bisa mengantarkan orang yang kita sayangi ke pintu syurga, Ameen ya Rabb..

Terima kasih sahabat kerana mengingatkan diri ini.Ingatlah dirimu tidak keseorangan, innallah ma’assobirin (Allah beserte orang-orang yang sabar). Moga kisahmu menjadi pengajaran (ibrah)  pada diri ini malahan kepada pembaca blog ini. Insya Allah..La tahzan ya ukhti..ikatan kita sejak di tingkatan lima tidak akan putus, kerana hati kita telah bersatu untuk menegakkan kalimahNya. Moga-moga Allah menerima persahabatan kita sebagai satu ibadah. Ameen, Ameen ya Rabb..

No comments:

Post a Comment