Arakian tersebutlah sebuah kisah
pada zaman awal permulaan Islam, seorang Badui yang menternak kambing.
Pekerjaannya sehari-hari adalah menggembala kambing. Kerjayanya itu sangatlah
sibuk, dari subuh sampailah ke sore hari. Namun demikian, sejak dia mengenali
Islam, hatinya sangat lapang dan dia sangat mencintai agamanya melebihi
kambing-kambingnya. Dia berazam untuk menunaikan semua solatnya secara
berjemaah terutama sekali pada solat Subuh kerana itulah tuntutan kekasih Sang
Khalik, Muhammad Rasulullah S.A.W.
Pada subuh hari itu, dia
bergegas ke masjid supaya dia tidak ketinggalan untuk menunaikan solat Subuh
secara berjemaah. Hatinya sangat berbunga-bunga untuk bertemu Sang Khalik. Bak
kata orang kebanyakan, dalam hati beliau ada taman. Beliau pun cuba mengkhusyukkan
hati tatkala solat. Apabila masuk bacaan surah, imam di masjid tersebut memilih
untuk membaca surah al-Baqarah (sapi betina).
Imam mengalunkan bacaan dengan
penuh penghayatan dalam solat, apabila sampai kepada ayat-ayat menceritakan
syurga, beliau akan membaca dengan penuh semangat, apabila sampai kepada ayat
yang menceritakan kecaman dan kepedihan azab neraka, beliau akan membaca dengan
penuh sendu dan sayu, sehingga jemaah teresak-esak.
Walaupun solat tersebut terasa
nikmat kekhusyukan, seperti semua sedia maklum, surah itu tersangatlah panjang.
Sehinggakan lutut si Badui ini menggeletar dek terlalu lama berdiri. Seusai
sahaja solat, matahari sudah menunjukkan dirinya di ufuk fajar. Banyaklah
kerja-kerja si Badui ini tergendala dek kerana panjangnya solat Subuh itu. Setelah
itu, Si Badui ini pun bergegas menyempurnakan perkerjaannnya yang sehari-hari
itu, iaitu menggembala kambing. Timbullah sedikit perasaan kesal pada si Badui
kerana dia telat menyempurnakan tanggungjawabnya.
Imam di masjid kemudian sedar
akan kekhilafannya, kerana memberatkan orang yang panjang urusan di siang hari
dan orang yang uzur. Keesokannya, si Imam memilih untuk membaca surah Al-Fil
supaya tidak memberatkan para jemaahnya. Si Badui walaupun agak ragu-ragu
kerana panjangnya surah al-Baqarah pada hari sebelumnya sehingga urusannya
tergendala, dia pun cuba menguatkan kaki supaya tetap istiqamah dengan solat
subuh secara berjemaah.
Dalam hatinya berdebar-debar,
surah apakah yang bakal dialunkan oleh imam tersebut. Apabila mendengar sahaja,
imam mengalunkan surah Al-Fil, hatinya kecut, terus sahaja dia mufaraqah
(berpisah dari imam) menunaikan solat secara sendirian, supaya dia tidak lambat
dengan urusannya. Dalam hatinya dia berkata,
“ Kalau al-Baqarah sudah panjang, inikan
al-Fil yang lebih besar dari al-Baqarah, pasti lebih panjang. Pasti banyak
urusan aku tak selesai nanti”
*al-baqarah=
lembu betina, al-fil=gajah
_________________________________________________________________
p/s: harap para pembaca faham dengan cerita diatas, dipetik dari buku Datelinekan hidupmu, Solikhin Abu Izzudin. Diolah dan disesuaikan dengan masyarakat setempat.
– Saya yakin anda akan tersenyum sendiri jika anda faham cerita diatas. Manisnya anda tersenyum. Pengajaran cerita diatas ialah kalau tuntut ilmu biarlah sampai habis, supaya kita tidak taklid buta, atau salah faham^^.
-maaflah ayat tunggang terbalik, kena belajar lagi tips-tips penulisan yang baik = =’
No comments:
Post a Comment