Thursday, January 5, 2012

A man who decides to change on twelve dies at eleventh.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah ana mulakan tinta bicara, pembuka tirai tahun 2012..(6:59)


                Anda pernah mendengar tajuk ini? Lelaki yang telah membuat keputusan untuk berubah pada pukul dua belas, mati pada pukul sebelas. Sadis ayat ini. Ana yakin, jika anda pernah membaca novel Hlovate, bertajuk contengan jalanan, pasti anda masih ingat kata-kata ini. Dalam dan penuh tersirat. Ana cuma mahu kita bersama fikir-fikirkan. Adakah kita termasuk dalam golongan ini? Kita mahu berubah, dan kita telah tetapkan target untuk berubah pada sekian-sekian waktu. Tetapi adakah waktu yang kita tetapkan itu,  kita boleh menjamin, Allah masih meminjamkan kita nyawa untuk kita meneruskan hidup di dunia ini? Tidak. Bahkan sesekali tidak. Tiada siapa tahu bila dan dimana kita akan meninggal dunia. Jikalau yang mengaku tahu itu, sahlah dia seorang pembohong malah berkemungkinan bersekongkol dengan jin atau syaitan yang telah mencuri berita di langit.
               
Kita telah melangkah ke tahun 2012. Ya, sesiapa pun pasti berdebar-debar dengan kedatangan tahun ini. Adakah benar spekulasi-spekulasi yang mengatakan kiamat bakal berlaku tahun ini? Wallahu’alam. Abaikan propaganda-propaganda barat yang jelas menyalahi aqidah. Apa-pun yang bakal berlaku, kita harus yakin, sama ada cepat atau lambat, kita semua akan merasai mati, Adakah tahun ini? Bagaimana? Itu semua rahsia Allah. Apa yang mampu kita usahakan adalah bagaimana memperbaiki amalan kita. Jangan jadi seperti pepatah diatas, sebagai contoh; kita telah berazam untuk berubah pada 20 Januari, tarikh lahir kita. Tiba-tiba takdir mendahului perancangan kita, kita mati pada 19 januari. Allahuakbar! Pasti hati akan berkepuk penyesalan, menangis pun sudah tidak berguna, jawablah persoalan-persoalan di kubur dengan amalan kita yang sedikit. Hayati bait lagu Fareast, Menanti di barzakh;
                
Ke merintih, ku menangis, ku meratap, ku mengharap,
                Ku meminta, dihidupkan semula, agar dapat kembali kealam nyata.


                
Menangislah sekarang wahai saudara-saudaraku, daripada kita menangis di kemudian hari. Jangan dilengah-lengahkan untuk berbuat kebaikan. Entah esok lusa kita kan terbujur kaku. Usia yang muda jangan disangka maut beribu batu.Tambahkan amal kebaikan, jadikanlah kita dalam golongan al-abrar.  Ayuh kita berubah!
1.       
Ayuh perbaiki hubungan kita dengan Allah! (Hablumminallah)

-Jika selama ini kita menganggap ringan soal solat lima waktu, ayuh kita cukupkan lima waktu sehari sekali. Jika Allah mampu memberi kita nafas 24 jam, bagaimana kita tak mampu, meluangkan masa 5 minit untuk bersyukur padaNya. Adakah kita mahu menjadi hambaNya yang tidak bersyukur? Ingatlah solat lima waktu adalah soalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak. Baik amalan solat kita, baiklah seluruh amalan kita.

- Jika solat wajib sudah kita cukupkan, apa salahnya kita tambahkan solat-solat sunat. Solat sunat rawatib, qabliah wa ba’diah. Solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu. Insya allah solat-solat sunat ini yang akan menampung kekurangan solat fardhu kita. Siapa boleh jamin solat fardhu kita sudah sempurna, 100 percent khusyuk? Disinilah peranan solat rawatib untuk menampal rompong-rompong kekurangan solat wajib.Selain itu, rajin-rajinkanlah bangun malam untuk bertahajud. Qiamulail untuk menjernihkan hati. Insya allah jika kita mengamalkannya deria kepekaan (instinct) kita akan menjadi lebih tinggi. Hati kita akan lebih peka antara dosa dan pahala.

2.       Ayuh perbaiki hubungan kita dengan manusia. (hablumminannas)

-          Anda masih punya ibu bapa? Ayuh berbakti pada keduanya. Jika mereka masih hidup, gembirakan mereka. Sahutlah panggilan mereka dengan kelembutan, pandanglah wajah mereka dengan kasih sayang. Anda tak perlu keluarkan modal beribu-ribu ringgit untuk melihat mereka bahagia. Cukuplah mereka bahagia hanya melihat ketinggian akhlak anak yang telah didiknya berpuluh-puluh tahun. Itu sudah berbaloi bagi mereka.(Cuma kalau dapat ibu bapa yang materialistic tu jangan lupa sentiasa doakan mereka mendapat hidayah Allah). Ana pernah mendengar cerita daripada sahabat ana, (sebagai pengajaran), ada seorang muslimah yang sangat cantik akhlaknya (jika dinilai pada pakaiannya yang sentiasa berjubah dan bertudung labuh) malah sangat aktif dengan kegiatan dakwah di kampus. Ramai orang mengaguminya. Tetapi tiada siapa sangka, dia tidak pernah bercakap dengan ibunya selama 10 tahun kerana salah faham yang kecil. Malah hubungan dengan ayahnya juga menjadi renggang setelah dia bernikah. Ana Cuma pelik, bagaimana dia menganggap bahagian kerja dakwahnya boleh berjalan lancar, sekiranya dosa-dosa besar tidak dia hindari? Kejahilan apakah? Ya Allah, jauhilah kami daripada fitnah dakwah sedemikian rupa. Jadikanlah kami anak soleh/solehah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kami. Jahat atau baikkah mereka, kewajipan kita untuk berbakti kepada keduanya. Mana tahu, dengan kebaikan yang kita lakukan, ibu bapa kita mampu beroleh hidayah?

-          Kita hidup dengan manusia sekeliling kita. Fitrah manusia Allah jadikan sebagai makhluk bersosial. Kita sentiasa berinteraksi tidak kira sama ada dengan adik-beradik, jiran tetangga, teman serumah, teman sekuliah, klien dan pelbagai lapisan lagi.  Dalam kita bersosial itu,tidak dinafikan kadang-kala pasti timbul konflik. Terutama sekali apabila tiada persefahaman, perbezaan ideology, egois dan pelbagai sebab lagi. Kadang-kadang tanpa kita sedari kita telah meninggikan suara, mencemuh, memaki orang-orang ini. Ayuh kita berubah dengan banyak mendiamkan diri. Bercakap apabila perlu sahaja. Apabila anda sedang marah atau tidak bersetuju, jauhkan diri anda seketika daripada orang tersebut. Banyakkan istighfar. Atau apabila anda sendiri terluka dengan perlakuan orang sekeliling anda, maafkanlah mereka. Ya kadang-kadang memang mudah mulut melafazkan kata maaf, tapi luka dihati sampai bila-bila parutnya meninggalkan kesan. Jangan begitu saudara-saudaraku. Maafkan mereka seikhlas hati. Kerana Allah. Insya allah hati kita tenang. Buat kerja pun rasa gembira walaupun orang lain menyampah tengok kita. Tak guna menyimpan dendam. Mudaratnya pada diri sendiri. Hidup tak tenang. Mati terseksa. Kerana teringat kesalahan si dia. Padahal kesalahan diri sendiri tak pernah di ingat. Ruginya orang semacam ini.

3.       Ayuh perbaiki diri!

-Jika selama ini kita orang yang tidak pernah pedulikan hal-hal agama, eloklah dari sekarang kita berubah. Jika selama ini, kita tak pernah menghayati bacaan dalam solat. Ayuh kita belajar bahasa arab, atau membeli buku-buku yang berkaitan dengan bacaan solat supaya bertambah kekhusyukan kita. Jika kita tak pernah menegur atau mengajak kawan-kawan/ adik-beradik kita yang tak pernah solat, cuba-cubalah menegur dan mengajak mereka dengan cara berhikmah. Kita kena cuba , walaupun diri tak sempurna lagi, apa salahnya mengajak mereka sama-sama perbaiki diri. Jika selama ini alquran sampai berdebu kita simpan dalam almari, apa salahnya, kita baca semuka sehari, walau tajwid kadang-kadang lari.  Agak-agak dah ok makhraj bacaan, kita belajar tajwid pula. Step by step kata orang. Walaupun lambat, tapi ia lebih bagus daripada tak mulakan langsung!

-Jika selama ini kita jadi orang yang pentingkan diri, sesekali belajar mendengar teguran orang lain. Walaupun sakit pada permulaaannya, percayalah dihujungnya anda akan merasai kemanisan. Anda gembira kerana orang lain gembira dengan anda. Jika kita tak pernah peduli sedih tangis orang sekeliling kita, sesekali belajar meminjamkan bahu untuk meringankan beban mereka. Jika anda tak pernah peduli hal-hal saudara kita terutamanya saudara seakidah di Palestin, dan di Negara-negara lain, belajarlah untuk mengikuti perkembangan mereka di media massa. Nyawa mereka, adalah nyawa anda. Sakit mereka, sakitlah anda. Pernah mendengar hadis ini “ Sesungguhnya setiap umat islam adalah bersaudara. Seseorang itu tidak dikira beriman selagi mana dia tidak mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya” Ayuh jadikan ia pedoman.

- Ayuh buangkan sifat-sifat mazmumah anda,  tanamkanlah sifat-sifat mahmudah. Anda seorang pemarah? Pendengki? Pemboros? Pendek kata, yang buruk-buruk semua anda? Ayuh gantikan dengan kebaikan. Jadilah seorang penyayang, orang yang sentiasa bersyukur, baik hati, rajin ke kelas, ringan tangan membantu mereka yang memerlukan, banyak tersenyum dan pelbagai lagi. Bukan susah nak lakukan kebaikan. Tapi senang lagi menurut kata nafsu yang lebih suka kepada keburukan. Hati-hatilah.

Ayuh berubah sekarang saudara-saudaraku yang dirahmati Allah sekalian. Jangan bertangguh-tangguh. Bak kata pepatah bahasa inggeris “procrastination is a thief of time”. Takut tak sempat kita berubah, Allah dah ambil nyawa kita. Tempoh pinjaman dah expired. Merugilah kita pada masa itu. Jangan tunggu jam dua belas, kita berubah jam satu ke, atau pun selewat-lewatnya pukul sepuluh. Bertaubatlah jika kita melakukan dosa-dosa pada tahun 2011,2010,2009,2008, 2007.... sekarang 2012, pandanglah kehadapan dengan kaca mata iman dan taqwa. Insya Allah SELAGI MANA NIAT KITA KERANA ALLAH, DIA SENTIASA KAN MEMBANTU..

p/s: Azam ana tahun ini, ana mahu menjadi lebih matang, dan lebih serius dalam bidang penulisan. Umur hampir menginjak ke angka 21, seharusnya dah nampak apa yang mahu dilakukan pada masa hadapan. Insya Allah ana dah tahu apa yang ana mahu lakukan. Banyak. Yang pasti ana mahu keredhaan Allah dalam setiap perkara yang ana lakukan. Mohon pembaca sekalian doakan tercapai cita-cita ana dan ana doakan para pembaca sekalian tercapai hajat tahun 2012 ini. Mintalah yang terbaik disisi Allah. Tapi yang pasti, pastikan dahulu anda tahu apa yang mahu anda capai tahun ini! Ameen.. INSYA ALLAH.. ^^,

No comments:

Post a Comment